AGENDAJENAYAH

Sindiket proses dadah tumpas, jadikan rumah dalam belukar pusat operasi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah berikutan penahanan tiga suspek lelaki warga tempatan dalam serbuan di Segambut, di sini, awal pagi Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata dalam kejadian pada 2.30 pagi itu, kesemua suspek yang berusia 32 hingga 51 tahun ditahan di sebuah rumah kayu, di kawasan belukar.

Beliau berkata pemeriksaan polis telah membawa kepada penemuan pelbagai alatan dan bahan kimia yang dipercayai untuk memproses dadah dan antara yang ditemukan adalah dadah ketamin seberat 3,631.64 gram, kafein (14,136 gram), heroin (111 gram) dan methamphetamine (0.13 gram).

“Polis turut merampas sebuah Nissan X-Trail, Honda Accord serta sebuah motosikal Honda RS 150 milik suspek selain beberapa barangan lain seperti jam tangan dan rantai leher. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM220,950.

Selain itu, hasil ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan direman sehingga 7 Sept depan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.

Beh berkata siasatan awal mendapati kumpulan diketuai oleh suspek yang berusia 32 tahun itu mula bergiat aktif sekitar awal tahun ini dan belajar memproses dadah melalui kenalan dan hasil dadah yang diproses dijual untuk pasaran Lembah Klang.

“Kami masih mengesan saki-baki kumpulan ini dan pengedar-pengedarnya, punca dari mana bahan-bahan mentah itu diperoleh untuk memproses dadah masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan dokumen keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor yang tular baru-baru ini.

Beh berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan dua individu melibatkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi dan seorang pegawai undang-undang.

“Kami telah mengenal pasti seramai 10 saksi untuk dipanggil dan bakinya akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya.

Pada 27 Ogos lepas, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia telah membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita berkaitan dokumen berkenaan.

— BERNAMA

 


Pengarang :