Petugas kesihatan mengambil sampel darah sempena program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga Kajang, Tanjong Sepat dipelawa sertai saringan kesihatan secara percuma

SHAH ALAM, 3 SEPT: Dato’ Menteri Besar mempelawa penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan Tanjong Sepat hadir saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Program diadakan di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian, Hulu Langat (DUN Kajang) dan Dewan Sri Kundang, Kampung Kundang (DUN Tanjong Sepat).

“Saringan kesihatan percuma minggu ini bagi warga Seri Kembangan, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Kajang dan Tanjong Sepat mengesan awal penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan lain-lain.

“Mohon Selangor Saring di aplikasi SELangkah,” katanya menerusi Facebook.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Selain mengesan barah payu dara, program hingga 4 September turut menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Hari ini Selangor Saring diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa untuk penduduk DUN Kuala Kubu Bharu dan DUN Batang Kali.

 


Pengarang :