Rakaman gambar jentik-jentik ketika tinjauan berkenaan perkembangan demam denggi di sekitar ibu kota pada 5 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

5,667 premis, rumah di Kelantan dikesan ada jentik-jentik – Dr Zaini

TANAH MERAH, 3 SEPT: Sebanyak 5,667 daripada 154,640 premis dan rumah kediaman di Kelantan yang diperiksa sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini didapati mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata susulan itu jabatan tersebut telah mengeluarkan sebanyak 1,087 kompaun dengan nilai RM543,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

“JKNK turut mengeluarkan sebanyak 109 Notis Seksyen 8 bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan Aedes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sunathon Amal Alor Pasir melibatkan 70 kanak-kanak di Masjid Al-Mustaqim, Alor Pasir di sini hari ini.

Menurut Dr Zaini, kumulatif kejadian kes denggi di Kelantan bagi tempoh Januari hingga Ogos mencatatkan 513 kes berbanding 140 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

“Ia peningkatan sebanyak 373 kes atau 252.21 peratus. Selain itu, terdapat dua kes kematian denggi dicatatkan pada tahun ini, berbanding tiada kematian tahun lepas,” katanya.

Dr Zaini berkata terdapat 26 wabak denggi telah dilaporkan di Kelantan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding enam wabak denggi bagi tempoh sama tahun lepas.

“JKNK turut mengesan lima wabak denggi aktif di Kota Bharu melibatkan Taman Sri Mahang di Ketereh; Pantai Sabak 2 di Sering; Cherang 2 di Panji; Taman Kurnia Jaya 1 dan 2 di Kemumin.

– BERNAMA


Pengarang :