Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd (empat, kiri) menyampaikan sumbangan cenderamata dan wang tunai kepada pesara tentera, Mat Supor Kamis (dua, kanan) di Kuala Kubu Bharu pada 1 September 2022. Foto MPHS
PBTSELANGOR

MPHS rai wira negara, beri sumbangan kepada veteran tentera

SHAH ALAM, 4 SEPT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menganjurkan program Jejak Perwira sempena bulan kemerdekaan bagi merai wira negara yang masih hidup di sekitar daerah berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan inisiatif tersebut diambil bagi mengenang pengorbanan dan jasa golongan terbabit dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

Katanya, tokoh Jejak Perwira yang dipilih pada tahun ini iaitu Mat Supor Kamis merupakan pesara tentera yang berkhidmat dari 1958 sehingga 1978.

“Selama 20 tahun perkhidmatan dalam ketenteraan banyak kenangan manis dan pahit terutamanya pengalaman semasa Rusuhan Singapura, Konfrantasi di Ipoh (Indonesia-Malaysia) pada 1961 dan peristiwa 13 Mei 1969.

“Sebagai tanda jasa bakti dan penghormatan kepada wira negara, Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd menyampaikan sumbangan cenderamata dan wang ringgit kepada Mat Supor di kediamannya di Jalan Padang Golf, Kuala Kubu Bharu,” katanya di Facebook.

MPHS berharap sumbangan yang disampaikan menjadikan masyarakat lebih menghargai jasa dan pengorbanan wira negara yang mempertaruhkan jiwa dan raga mereka kepada negara.


Pengarang :