Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Prihatin Rakyat DUN Kota Damansara di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya pada 4 September 2022.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

500 pengunjung rebut peluang beli barangan asas RM5 di jualan murah sempena merdeka

SHAH ALAM, 5 SEPT: Lebih 500 pengunjung merebut peluang mendapatkan pelbagai barangan asas pada harga RM5 menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, minggu lalu.

Diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 peringkat negeri, jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berjaya mencapai sasaran dengan jumlah jualan RM35,000.

Agensi pertanian negeri memaklumkan semua produk laris dijual dalam tempoh hanya tiga jam selepas dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut agensi itu, pihaknya membawa 2,000 ayam selain beras, telur, ikan dan daging masing-masing 1,000 unit.

“Antara barangan yang habis awal adalah minyak masak dan telur. Semua barang dijual pada harga hanya RM5 kecuali minyak masak sahaja dijual RM10,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, PKPS memaklumkan produk yang dipromosikan sempena Hari Kemerdekaan ke-65 meliputi ayam, ikan, daging import, telur ayam gred B dan beras lima kilogram (kg).

Sejak Disember tahun lepas, PKPS menjalankan program jualan murah barangan asas bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Pada 25 Julai lalu, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim memberitahu lebih 80,000 rakyat menerima manfaat melalui program berkenaan.


Pengarang :