Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat (dua, kanan) beramah mesra bersama penjawat awam pada program perhimpunan penjawat awam Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus pada 21 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuepacs gesa jabatan kerajaan lunas caruman Perkeso pekerja kontrak, sementara

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa majikan sektor kerajaan yang mempunyai kakitangan kontrak dan sementara untuk mendaftar dan membayar caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata semua jabatan, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa membayar caruman sekiranya masih belum berbuat demikian.

“Ingatan ini disuarakan oleh Cuepacs memandangkan terdapat sebuah jabatan kerajaan yang masih belum menjelaskan caruman kepada Perkeso bagi 2013 hingga 2020 dengan jumlah tunggakan caruman sebanyak RM32,151,063.80.

“Tunggakan dalam tempoh berkenaan perlu disegerakan pembayaran bagi mengelak kakitangan jabatan tersebut terjejas atau berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khasnya di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman sepertimana yang dikehendaki di bawah Akta 4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata adalah menjadi kewajipan majikan untuk memastikan setiap kakitangan kontrak dan sementara membuat caruman kepada Perkeso bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan sewajarnya.

Perkeso telah meluaskan liputan perlindungan terhadap pekerja bertaraf kontrak dan sementara dan dikuatkuasakan terhadap semua jabatan dan agensi kerajaan mulai 1 Jun 2013 melalui Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja P.U (B) 239 dan 240.

Adnan berkata perluasan keselamatan sosial di bawah Skim Bencana Pekerjaan (SBK) dan Skim Keilatan (SK) itu bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja sektor awam dan setara dengan pekerja sektor swasta.

Beliau berkata kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 94 Akta 4 serta Peraturan-peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Antara faedah di bawah SBK dan SK ialah Faedah Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Pencen Penakat, Pencen Ilat, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Perubatan, Rawatan Dialisis dan Faedah Pemulihan Jasmani atau Vokasional selain rawatan yang disediakan oleh Pusat Rehabilitasi Perkeso di bawah Program Return To Work.

“Justeru, Cuepaces berharap kerajaan tegas dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan dan kebajikan pekerja walaupun berstatus kontrak atau sementara,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :