SELAYANG, 11 SEPT: Lebih 3,000 orang tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti sukan lasak di Karnival Ekstrem Gua Damai di sini yang berlangsung dua hari sejak semalam.
Dato’ Menteri Besar berkata karnival edisi ketujuh di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves hanya mengenakan bayaran RM5 kepada peserta untuk acara terjun udara, panjat batu kapur, luncur keluang, abseiling, panjat pokok, paintball, jumaring, slack line dan roller blade.
Dato’ Seri Amirudin Shari turut memuji Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Tourism Selangor dan Tourism Malaysia atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.
“Program ini merupakan usaha terpuji pihak berkenaan untuk memperkasakan komuniti selain memberi peluang peluang kepada orang ramai mencuba sukan ekstrem.
“Saya lihat peserta yang datang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan jantina. Ramai ibu bapa hadir bersama bagi memberi peluang serta sokongan kepada anak mereka untuk menyertai aktiviti ini,” katanya ditemui selepas merasmikan karnival itu.
Turut hadir Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi dan Orang Besar Daerah Gombak Dato’ Paduka Raja Tan Sri Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua berkata sukan ekstrem yang bertapak dalam negara sejak 1980 semakin berkembang dan mendapat perhatian anak muda dengan pelbagai aktiviti tahunan dijalankan.
Susulan itu, katanya, sukan berkaitan diperkenalkan di Taman Ekstrem Gua Damai berikutan terdapat kemudahan ekstrem seperti litar BMX, gelanggang futsal, ‘skate park’ dan batu kapur semulajadi.
“Malah Gua Damai menjadi lokasi dan tarikan peminat sukan ekstrem di negara ini termasuk antarabangsa,” katanya lagi.