Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah (tengah) berkenan menanam anak pokok tanjung (mimusops elengi) diiringi EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian sempena sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa sekitar Pantai Morib, Kuala Langat pada 10 September 2022. Foto MPKL
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tengku Zatashah berkenan bersih pantai, tanam 50 anak pokok di Pantai Morib

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sebanyak 50 anak pokok tanjung (mimusops elengi) ditanam ketika program pembersihan pantai di sekitar Dataran Pantai Baharu Morib, Kuala Langat semalam.

Bertemakan #SeatheChange, program sempena sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa disempurnakan Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah diiringi EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian.

Program kali kelima sejak dianjurkan pada 2017 merupakan cetusan anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai inisiatif pemeliharaan alam sekitar.

Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah (tengah) bersama peserta dari pelbagai agensi bergotong-royong membersihkan pantai sempena sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa sekitar Pantai Morib, Kuala Langat pada 10 September 2022. Foto MPKL

Menerusi kenyataan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim menghargai penglibatan semua rakan strategik yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.

“MPKL amat menyambut baik dan akan terus memberi sokongan yang padu terhadap usaha seperti ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysian Institut of Planner kerana mengambil peluang ini dengan memilih Kuala Langat untuk menjayakan program Pledge & Planta Tree.

“Program ini memberi dampak yang berskala besar terhadap usaha pemerkasaan mewujudkan bandar rendah karbon dan juga Agenda Penghijauan Malaysia menerusi kempen menanam 100 juta pokok bagi tahun 2021-2025 bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA),” katanya.

Selain Lembaga Urus Air Selangor, program pembersihan pantai semalam turut disertai Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Reef Check Malaysia, Gang Peduli Sampah dan My Clean Beach.

Dalam pada itu, Amirul berharap seluruh masyarakat meningkatkan kesedaran untuk bersama memikul tanggungjawab membantu MPKL menjaga alam sekitar dan kawasan pelancongan bagi mencapai pembangunan mampan dan lestari.

“Usaha seperti ini merupakan sebuah inisiatif yang dapat memberikan dampak terhadap potensi kawasan pelancongan yang bersih serta mampu memberikan imej terbaik di peringkat tempatan mahupun di peringkat global,” katanya lagi.

Sebahagian peserta dari pelbagai agensi bergotong-royong sempena sambutan Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa sekitar Pantai Morib, Kuala Langat pada 10 September 2022. Foto MPKL

Pengarang :