Delegasi Selangor FC diketuai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mengadakan pertemuan dengan delegasi JDT diketuai Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur pada 11 September 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Delegasi Selangor FC, JDT kongsi idea tingkat kualiti Liga Malaysia

SHAH ALAM, 11 SEPT: Delegasi Selangor FC mengadakan sesi perbincangan dan perkongsian pendapat bersama delegasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuala Lumpur, hari ini.

Selangor FC menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan delegasi tersebut diketuai oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah manakala JDT oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Kedua-dua pihak telah menyentuh pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan lagi mutu dan kualiti bola sepak serta Liga Malaysia di samping mengeratkan lagi hubungan kedua-dua kelab,” menurut kenyataan tersebut.

Pada 30 Ogos, Raja Muda Selangor menyeru semua penyokong terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecah-belahkan.

Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC bertitah baginda sedar prestasi semasa tidak menyebelahi pasukan itu dan kini pengurusan sedang mengenal pasti kekurangan yang perlu diperbaiki.

 

 


Pengarang :