Pelbagai barangan keperluan asas dijual pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 14 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Sementa puji program jualan murah, bantu ringan beban

KLANG, 14 SEPT: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa berpuas hati dengan program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) termasuk Jelajah Ehsan Rakyat.

Penyelarasnya Mohd Saadon Muah berkata sebanyak lapan lokasi dianjurkan di DUN tersebut dan penduduk mengalu-alukan harga ditawarkan kerana memberi penjimatan.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan kebanyakan barangan dijual terutama ayam, telur, beras dan minyak menjadi pilihan kerana membantu ringankan beban.

“Namun saya berharap penganjur dapat menambah kaunter bayaran dengan mengasingkan barangan kering dan basah bagi memudahkan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Penyelaras DUN Sementa Mohd Saadon Muah. REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Mohd Saadon turut mempelawa orang ramai untuk datang ke beberapa lokasi jualan di DUN Sementa untuk bulan ini.

“Esok jualan murah diadakan di Taman Cempakasari diikuti Bukit Kerayong (21 September) dan Kampung Batu 12 (28 September),” katanya.

Lori Jelajah Ehsan Rakyat yang membawa barangan keperluan harian pada harga murah menjelajah ke sembilan daerah setiap hari hingga hujung tahun ini.

Menerusi jualan itu, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Maklumat lokasi lori berkenaan mengikut hari boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS .


Pengarang :