SHAH ALAM, 28 SEPT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang membuka pusat penempatan sementara (PPS) pagi ini untuk mangsa banjir yang terkesan berikutan air pasang besar.
Mangsa banjir yang dipindahkan meliputi Kampung Delek Baru ke Sekolah Rendah Agama Kampung Delek
dan Kampung Sungai Sireh Tambahan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh.
Agensi itu turut menasihatkan penduduk yang terjejas untuk menghubungi wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau terus ke PPS berkenaan.
Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan memaklumkan bacaan paras air laut di dua daripada lima stesen di Klang berada pada paras bahaya setakat 7.15 pagi ini.
“Bacaan di stesen Tugu Keris dan Bandar Klang berada pada paras bahaya. Orang ramai diminta bersedia dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya di Facebook.
Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang dibuka kepada orang ramai bermula semalam sebagai persediaan banjir susulan fenomena air pasang besar sehingga esok.
Menerusi poster yang dikongsi di Twitter Pejabat SUK Selangor semalam, bacaan paras air laut dijangka mencecah 5.3 meter dengan paras tertinggi 5.4 meter pada Rabu.
Antara lokasi yang dipantau ialah Taman Selat Damai, Pandamaran, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang dan Jeti Nelayan Pengkalan Nelayan Tok Muda di Klang.
Manakala lokasi tumpuan di Kuala Langat ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang dan Jeti Tanjung Sepat.