Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB ajak rakyat daftar skim insurans percuma, beri perlindungan hingga RM10,000

SHAH ALAM,1 OKT: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat negeri ini mendaftar Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang dibuka bermula hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendaftaran skim insurans percuma yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 boleh dibuat menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.

“Permohonan perlindungan insurans untuk semua rakyat Selangor kini dibuka. Skim Insurans Am Selangor (INSAN) memberi perlindungan sehingga RM10,000. Daftar melalui e-dompet Wavpay, rujuk grafik untuk maklumat” katanya menerusi Facebook.

Program INSAN diumumkan Dato’ Menteri Besar ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri pada 30 Ogos lepas, sebagai salah satu inisiatif meringankan beban mereka yang dihimpit masalah.

Inisiatif perlindungan insurans am berkumpulan yang dilaksanakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI ditawarkan kepada individu berusia seawal 30 hari hingga 80 tahun.

Syarat kelayakan bagi menyertai program skim insurans percuma ini adalah nombor kad pengenalan atau alamat didaftarkan serta pengundi di negeri ini.

Setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis, yang dijangka memanfaatkan enam juta rakyat Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar mulai hari ini hingga 30 September 2023, dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.wavpay.net.


Pengarang :