SUBANG JAYA, 3 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mempertimbangkan untuk menyokong Bajet 2023 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan ketika ini didakwa tidak telus dalam beberapa perkara penting.
“Kita sedang teliti (untuk menyokong atau menolak Bajet 2023). Kita mahu tekankan soal pengurusan kerajaan dan rasuah.
“(Ia termasuk) projek yang tidak telus seperti masalah pembelian ubat-ubatan termasuk vaksin, kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) mengenai 5G yang sampai sekarang belum ada ketelusan,” katanya.
Ketua pembangkang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku SCRIPT – For A Better Malaysia di Dorset Grand Subang di sini, semalam.
Berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai 13 September tahun lalu, HARAPAN bersetuju menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang (RUU).
Kegagalan usul atau RUU diluluskan akan menjadi satu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan.
Bagaimanapun syarat itu tertakluk penunaian dan pelaksanaan transformasi yang dipersetujui dalam MoU berkenaan selain usul dan RUU yang dibentangkan kerajaan perlu dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kedua-dua pihak.