SHAH ALAM, 3 OKT: Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap dua lagi jalan di daerah Gombak dan Kuala Selangor pada 27 September lalu.
Agensi itu memaklumkan kedua-dua jalan itu diturap dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan daripada orang ramai di Twitter.
Kerja penurapan jalan raya berkenaan membabitkan Jalan Selayang-Kepong, Gombak dan Batu 53, Jalan Lama Kuala Selangor, Sabak Bernam.
Sehari sebelumnya, Infrasel melaksanakan kerja merata, memadatkan tanah merah dan menambak bahu jalan menggunakan batu kasaran di Jalan Headwork di Tanjung Karang, Kuala Selangor.
Orang ramai diminta teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama hashtag #namajalan #daerah (jika) berlakunya kerosakan jalan raya tersebut.
Pada 14 September lalu, Infrasel melakukan kerja penurapan Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam di sini siap dalam tempoh 24 jam selepas orang ramai membuat aduan di Twitter.
Usaha itu terus dipergiat dengan menurap Jalan Sawah Ban, Pasir Panjang, Daerah Sabak Bernam diikuti Jalan Genting Highlands – Batang Kali, Hulu Selangor pada 20 September dan sehari selepas itu di Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Petaling.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.
Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.