SHAH ALAM, 5 OKT: Ekspedisi pendakian Sungai Batangsi oleh 10 anggota Helang Hikers Team Selangor berjaya mengumpul sebanyak 11.2 kilogram (kg) sampah sepanjang trek.
Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata sampah yang berjaya dikumpul termasuk botol plastik dan tin minuman.
“Dalam misi ini, Helang Hikers berjaya mengumpulkan 11.2kg sampah seperti botol plastik dan tin minuman di sepanjang trek yang mencabar dan licin.
“Para peserta turut dibawa menyusuri belukar dan merentasi arus sungai untuk tiba di Air Terjun Berembun yang berketinggian 20 meter,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau ekspedisi berkenaan diketuai oleh Krew Kem Anugerah Alam Batangsi iaitu Khairil Aslan dan Munzir.
Tambah beliau, pendakian tersebut mengambil masa empat jam untuk tiba di Tapak Perkhemahan Kem Balak.
“Ekspedisi Sungai Batangsi merupakan siri latihan bagi Helang Hikers sebelum menyertai Ekspedisi Gunung Nuang,” katanya.