Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue ketika Majlis Penutupan Latihan dan Kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 17 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Serve Rescue dilengkapi alatan menyelamat, tingkat upaya ketika bencana

SHAH ALAM, 18 OKT: Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue dilengkapi peralatan menyelamat bagi memastikan pasukan tersebut bertindak lebih efisien ketika bencana terutama banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kelengkapan seperti bot dan jaket keselamatan meningkatkan keupayaan sukarelawan tersebut yang bertindak sebagai pasukan sokongan pihak berkuasa.

“Peruntukan tahunan untuk Serve Rescue akan ditambah. Pasukan sukarelawan ini memang sudah ada peralatan namun lebih tertumpu kepada pasca bencana seperti alat membersihkan rumah.

“Pasukan ini akan membantu operasi menyelamat terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tetapi perlulah mendapat kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya pada sidang media majlis penutup latihan dan kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 di sini.

Amirudin berkata lebih 300 individu membuat permohonan menyertai Serve Rescue namun hanya 37 yang layak selepas disaring beberapa peringkat.

“Mungkin selepas ini kita akan buka kepada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ramai berminat. Namun silibus berbeza dengan latihan selama dua hingga tiga bulan,” katanya.

Serve Rescue yang sebelum ini dikenali sebagai Serve Elit menjalani latihan asas termasuk bersama Pasukan Penyelamat Dalam Air bagi mengendalikan mangsa banjir. Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100,000 bagi penubuhan pasukan berkenaan.


Pengarang :