Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Skim Insurans Am Selangor ketika Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Proses mohon skim insurans percuma mudah, cepat

SEPANG, 30 OKT: Hasrat seorang juruteknik memiliki insurans tercapai apabila kini merupakan antara penerima Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Falliq Ar-Rayyan Fakhrullah, 26, berkata beliau tidak menyangka cubaan memohon insurans tersebut berjaya malah proses permohonannya amat mudah serta cepat.

Falliq Ar-Rayyan Fakhrullah. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya tidak memiliki perlindungan dengan mana-mana syarikat insurans tetapi memang berhasrat untuk memilikinya namun tiada masa untuk berjumpa ejen.

“Apabila mengetahui Kerajaan Selangor menawarkannya, saya cuba memohonnya dan tidak sangka urusan permohonan senang. Selepas ini, saya akan mohon untuk isteri dan anak pula,” katanya kepada SelangorKini pada program Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di sini, hari ini.

Sementara itu, pemandu jentera Basiron Marsinu, 62, berkata beliau tinggal di Kampung Olak Lempit dan datang ke Jelajah Selangor Penyayang untuk mendaftar INSAN.

“Saya datang bersama anak untuk berdaftar skim INSAN kerana tidak ada insurans yang boleh melindungi diri sendiri. Saya tidak sangka proses daftar mudah sahaja.

Basiron Marsinu. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya sarankan masyarakat tidak lepaskan peluang untuk mendapatkan insurans yang ditanggung Kerajaan Negeri kerana ia percuma dan memberi manfaat,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sijil skim insurans percuma kepada lima penerima sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di KIP Sentral, Kota Warisan.

INSAN yang menawarkan perlindungan insurans am berkumpulan kepada individu berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net

 


Pengarang :