Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dan menyapa penduduk selepas program jamuan rakyat di Kampung Wira Damai, Gombak pada 4 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Dana RM25 juta bina kompleks Islam di Kampung Wira Damai

GOMBAK, 4 NOV: Kompleks Islam yang menempatkan masjid dan pusat pendidikan dengan kos sehingga RM25 juta akan dibina di Kampung Wira Damai, di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dinamakan Kompleks Islam Wira Damai, pembinaan itu membabitkan kerja menaik taraf Masjid An Nur Kampung Wira Damai.

Jelasnya, cadangan pembinaan membabitkan tanah milik Permodalan Negeri Selangor Berhad seluas 5.5 ekar itu dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor pada 25 November depan.

“Masjid ini sangat sentimental bagi penduduk setempat, tetapi tahun demi tahun ia semakin sesak disebabkan faktor sekeliling sehinggakan timbul banyak masalah seperti tiada tempat parkir, hendak buat program agak sukar.

“Rancangan untuk membina kompleks ini sudah lama, tertangguh sebab Covid-19. Namun kita umum sekarang kerana masa yang baik. Ia akan dijalankan bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) membabitkan sebahagian 206 projek untuk membangunkan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis kenduri rakyat di Masjid An Nur Kampung Wira Damai di sini.

Hadir sama Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Mohd Yazid Sairi dan Nazir Masjid Wan Jabarudin Wan Hassan.


Pengarang :