AGENDANASIONAL

Hari penamaan calon, sembilan Parlimen di Selangor diramal hujan pagi esok 

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan sebelah pagi melibatkan sembilan Parlimen di Selangor pada hari penamaan calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) esok.

Menerusi maklumat ramalan cuaca khas hari penamaan calon, Parlimen tersebut adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kapar, Kota Raja dan Sepang.

Manakala Parlimen Hulu Selangor, Gombak, Pandan, Bangi, Subang, Petaling Jaya, Shah Alam, Selayang, Ampang, Hulu Langat, Puchong, Damansara dan Sungai Buloh pula diramal mendung pagi esok.

MetMalaysia turut memaklumkan seluruh Selangor diramal mengalami ribut petir dan hujan lebat pada sebelah petang.

Selain itu, seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka mengalami cuaca mendung pada sebelah pagi dan diramal ribut petir dan hujan lebat sebelah petang.

Cuaca sama turut diramalkan di beberapa parlimen di Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan.

Seluruh Pulau Pinang dan Melaka dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi dan ribut petir serta hujan lebat pada sebelah petang.

Penamaan calon PRU15 akan berlangsung esok di seluruh negara melibatkan 222 kerusi parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

 


Pengarang :