GOMBAK, 6 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari menziarah beberapa pesakit kritikal dan bertemu dengan masyarakat di Kampung Fajar dekat sini hari ini.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak meluangkan masa hampir 30 minit untuk mendengar masalah setempat seperti isu perparitan.
Beliau turut singgah di rumah Mohd Akram Noor Mohamed,68, yang kaki kanannya dipotong akibat kencing manis manakala isterinya, Latifah Shukor,60, pula menghidap masalah buah pinggang.
Amirudin berkata beliau akan membantu dengan menyediakan alat sokongan untuk membolehkan mereka meneruskan perusahaan ternakan ikan air tawar dijalankan anak pasangan itu secara kecil-kecilan.
“Pasukan saya akan buat lawatan susulan untuk melihat lebih lanjut keperluan mereka.
“Kita mahu membantu mereka supaya dapat mencari rezeki seperti sebelum ini,” kata Dato’ Menteri Besar.
Dalam lawatan itu, Amirudin juga menyantuni pesara swasta Syed Azhar Syed Harun,59, yang menghadapi masalah paru-paru.