Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Manivanan Gowin bersalaman dengan penduduk ketika menghadiri upacara pecah tanah pembinaan tokong baharu di Tokong Pak Mak Law See Kona, Pantai Morib pada 6 November 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN hanya calonkan individu setia rampas kerusi pembelot

KUALA LANGAT, 7 NOV: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hanya meletakkan individu setia dan boleh dipercayai untuk menentang kerusi ‘pengkhianat’ pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon parti itu di Kuala Langat Manivanan Gowin berkata keputusan dibuat presiden dan timbalan presiden menerusi perbincangan panjang dengan meneliti banyak faktor.

Beliau menjelaskan antara kerusi tumpuan ialah di Parlimen Gombak yang ditandingi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan beberapa lagi di Lembah Klang.

“Kedua-dua orang kanan parti telah memutuskan kerusi yang ‘dikhianati’ perlu ditandingi orang yang mendapat kepercayaan parti dan tidak boleh khianat mandat diberikan.

“Perkara ini tidak diputuskan begitu sahaja tetapi strategi politik dengan mengutamakan mandat rakyat tetapi dikhianati oleh individu yang parti tonjolkan,” katanya ditemui di sini semalam.

Kerusi Parlimen Kuala Langat sebelum ini dimenangi Datuk Dr Xavier Jayakumar atas tiket KEADILAN pada 2018 tetapi keluar daripada parti itu pada Mac 2021 dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Manivanan, yang juga seorang peguam berdepan saingan enam penjuru di kerusi tersebut yang turut ditandingi Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mewakili PN.

Turut bertanding M. Mohana daripada Barisan Nasional, Mohd Ridzuan Abdullah (Pejuang), Ganeskumar (Parti Rakyat Malaysia) dan Zanariah Jumhuri (Bebas).

Sebelum ini, Manivanan berkhidmat sebagai ahli parlimen Kapar antara 2013 hingga 2018.

 


Pengarang :