Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
SEPANG, 7 NOV: Potensi Sepang sebagai pusat pelancongan akan ditingkat jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Calon kerusi itu Aiman Athirah Sabu berazam untuk memajukan daerah berkenaan yang terdiri daripada kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung.
“Potensi Sepang boleh diperkukuh jika kemudahan prasarana ditambah baik dengan mengambil kira kedudukannya di tepi laut, ia mungkin mudah rosak.
“Ada juga golongan nelayan, maka potensi tersebut sangat besar untuk terus ditingkat,” katanya pada sesi jelajah kelompok di medan selera Bagan Lalang.
Aiman Athirah menambah peniaga dan pengunjung pula mahu lebih banyak kegiatan di kawasan itu yang menjadi antara perkara yang memerlukan tindakan.
“Ketika ini dimaklumkan di Bagan Lalang hanya hujung minggu sahaja yang ramai kerana mereka datang berkelah dan berkhemah,” katanya.