OLEH SHAMZ JOHAN
SHAH ALAM, 12 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bangi meminati sastera Melayu lama khususnya penulisan hikayat termasuk Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Syahredzan Johan yang juga pengamal undang-undang sering mengambil petikan dari Sejarah Melayu sebagai rujukan atau metafora dalam penyampaian dan penulisannya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/11/FW1264834_SG08_03112022_PH_PRU1-lpr-372x500.jpg)
“Saya datang daripada keluarga sastera, kisah-kisah hikayat dan penyajak memang menjadi kebiasaan dalam kehidupan ketika saya membesar.
“Saya melihat Sulalatus Salatin sebagai kuarza sejarah. Jika kita tengok, banyak kisah yang kita ketahui seperti Badang, Singapura dilanda todak dan sebagainya berasal daripada Sulalatus Salatin,” katanya.
Syahredzan menambah banyak pengajaran dari kisah buku tersebut termasuk nilai moral dan teladan yang boleh dikaitkan dalam konteks moden.
“Antaranya kisah pemerintah tamak yang menjadi punca kejatuhan negara, kisah pembesar yang tidak pentingkan rakyat dan kisah pemerintah zalim hingga rakyat memberontak. Semua terangkum dalam Sulalatus Salatin,” katanya.
Berikut kegemaran lain Syahredzan:
Filem: Jurassic Park
Artis tempatan: M Nasir
Artis antarabangsa: Blackpink, Utada Hikaru
Pasukan bola sepak: Selangor, Everton
Makanan: Roti canai