Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa kanak-kanak ketika hadir ke Program MIni Karnival Wanita di Taman Selasih, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelajar teruja ditawar 10,000 komputer riba, tingkat prestasi pendidikan

GOMBAK 15 NOV: Pelajar sekitar Parlimen Gombak yang tiada peranti teruja dengan tawaran 10,000 komputer riba untuk pendidikan dan keusahawanan yang ditawarkan Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia M Khosalya, 15, mengakui beliau antara ribuan pelajar yang ketinggalan kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian ketika perintah kawalan.

M Khosalya

“Waktu itu terpaksa kongsi telefon dengan adik-beradik lain, sukar untuk belajar. Saya gembira dapat tahu beliau (Amirudin) hendak beri 10,000 komputer riba kepada pelajar,” katanya.

Pelajar SMK Sungai Pusu Ahmad Najmi Ahmad Masdi, 16, turut menyambut baik tawaran tersebut kerana ia membantu meningkatkan tahap pendidikan mereka.

“Sekarang komputer riba satu keperluan buat murid kerana banyak ilmu boleh dicari dengan mudah,” katanya.

Pelajar pengurusan perniagaan sebuah institut swasta J Nivasan, 18, berkata bantuan itu juga boleh meringankan anak muda untuk menjalankan perniagaan dalam talian.

J Nivasan

“Sekarang hanya guna telefon untuk belajar dalam talian dan kalau ada tugasan terpaksa pinjam komputer kawan,” katanya yang berasal dari Selayang Baru.

Menerusi Deklarasi Gombak Bermaruah, Amirudin yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Gombak menawarkan 10,000 komputer riba dan peranti bagi tujuan pendidikan dan keusahawanan.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :