Sarjan Azmi Abdul Rani menunaikan tanggungjawab mengundi awal biarpun berkerusi roda di Ibu Pejabat Polis Selangor pada 15 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Meski berkerusi roda, anggota polis semangat keluar mengundi awal

SHAH ALAM, 15 NOV: Meski hadir berkerusi roda di pusat pengundian, seorang anggota polis tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sarjan Azmi Abdul Rani, 53, yang memakai topi lambang unit beruniform itu kelihatan bersemangat ketika tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada jam 9.30 pagi.

“Setakat ini saya belum pernah lagi ketinggalan untuk menjalankan tanggungjawab mengundi dan bersyukur masih diberi peluang walaupun keadaan kurang sihat.

“Kepada anak muda saya menyeru anda semua keluarlah mengundi Sabtu ini, tunaikan tanggungjawab dan undilah dengan bijak,” katanya kepada SelangorKini.

Azmi menjelaskan beliau mula berkerusi roda awal tahun ini selepas menghidap kencing manis, angin ahmar dan darah tinggi sehingga tidak berdaya lagi untuk berjalan.

“Alhamdulillah proses pengundian berjalan lancar dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) banyak membantu dari mula sehingga habis,” katanya.

Beliau yang sudah empat tahun berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bakal bersara Mei tahun depan.


Pengarang :