Lee Chean Chung melancarkan laman web PJLestari.com yang mengandungi empat teras dalam memastikan kemakmuran penduduk Petaling Jaya pada 15 November 2022. Foto Facebook Lee Chean Chung
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN lancar laman web untuk warga PJ

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 17 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Petaling Jaya melancarkan laman web PJLestari.com sebagai aspirasinya dalam berkhidmat untuk penduduk.

Lee Chean Chung berkata sebagai seorang yang telah bekerja dan tinggal di Lembah Klang selama 12 tahun, beliau memahami harapan, isu dan cabaran yang dihadapi penduduk.

“Aspirasi saya adalah bekerjasama dengan anda untuk meneruskan perubahan bermula dari peringkat komuniti, kawasan parlimen dan nasional.

“Mari kita pastikan Petaling Jaya terus menjadi pusat pembangunan yang mampan dan makmur. PJ BOLEH!,” katanya menerusi Facebook.

Laman web PJLestari.com dilancarkan 15 November 2022 mengandungi empat teras dalam memastikan kemakmuran penduduk Petaling Jaya.

“Pertama adalah reformasi negara antaranya menggubal dasar ekonomi, perindustrian dan teknologi negara. Selain itu memperjuangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Kedua adalah pengangkutan dan kemudahan lestari iaitu meningkatkan pengangkutan awam seperti menggunakan van, laluan pejalan kaki dan lorong basikal.

Selain itu teras ketiga adalah memartabatkan kumpulan belia melalui PJ UP! untuk memperkasakan PKS seperti penjaja, peniaga kecil dan penjual dalam talian melalui siri latihan penjenamaan, pemasaran, pembangunan produk dan inovasi.

Keempat pula komuniti yang harmoni dengan menubuhkan majlis perundingan di kerusi Parlimen Petaling Jaya dengan ahli jawatankuasa pengurusan, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis.


Pengarang :