Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
SHAH ALAM, 17 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Hulu Selangor kecewa tetapi kekal bertenang apabila papan kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diconteng dengan perkataan kurang sopan.
Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata dua papan iklan terjejas iaitu di Sungai Choh, Serendah dan Batang kali yang dikesan pagi tadi.
“Ini hanyalah provokasi pihak lawan. Mereka dah kehilangan idea macam mana cara untuk merayu undi.
“Jadi kita perlu tenang dan sabar serta terangkan pada semua penduduk Hulu Selangor. Mohon semua untuk sabar ya… dua hari lagi,” katanya menerusi Facebook.
Dr Sathia Prakash meminta jentera HARAPAN kekal tenang dengan segala provokasi dilontarkan oleh pihak lawan.
Pencalonan beliau sebagai calon telah mendapat sokongan memberangsangkan kerana aktif berkempen bertemu masyarakat.
Selain isu pembangunan Dr Sathia Prakash turut menekan kepentingan menghargai nilai-nilai perbezaan dan menghormati kepelbagaian kaum, budaya dan agama untuk menikmati kehidupan yang harmoni.
Beliau dicabar Datuk T Mohan (Barisan Nasional), Hasnizan Harun (Perikatan Nasional dan Harumaini Omar (Pejuang).