Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengundi pada kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Selayang Baru, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin gesa jentera terus kerja keras, pastikan Gombak milik HARAPAN

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 17 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari mengesa pasukan dan jenteranya terus bekerja keras hingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan Parlimen Gombak menjadi milik Pakatan Harapan (HARAPAN).

Calon HARAPAN Parlimen Gombak berharap pasukannya tidak leka walaupun sokongan penduduk ketika ini dilihat semakin meningkat terhadap gabungan itu.

“Namun kita mempunyai 206,000 pengundi, (sokongan) sepanjang tempoh kempen bukanlah ukuran tapi kena tengok keseluruhan dan saya tak mahu pandang mudah. Saya juga takkan terpengaruh dengan segala bacaan awal kerana ini akan beri kesan antaranya keyakinan melampau, cepat puas hati dan kurang kerja keras.

“Jadi, sayasentiasa ingatkan pasukan dan jentera agar terus bekerja keras bukan minit terakhir tapi saat terakhir kerana itu sikap yang saya tanamkan sejak hari pertama (jadi calon),” katanya yang turut mengesa pasukannya untuk memastikan seramai mungkin penduduk untuk keluar mengundi.

Beliau berkata demikian selepas berucap dalam Majlis Sembang Santai Bersama Persatuan Penduduk dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Hulu Klang di Serasa Garden, Taman Melawati di sini hari ini.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Calon lain yang diumumkan ialah penyandang tiga penggal kerusi itu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mewakili Perikatan Nasional dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional).

Dua lagi calon ialah Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad.


Pengarang :