GOMBAK, 17 NOV: Dato’ Menteri Besar menyeru peniaga mencontohi keberanian usahawan berjaya yang berani meneroka peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan.
Mengambil contoh kejayaan Syukor Majid, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengusaha makanan segera itu bijak mencari ruang sepanjang tempoh pandemik Covid-19 apabila burger jualannya laris.
“Inilah kita perlukan, saya lihat perniagaan bukan hanya soal duit tetapi kreativiti, ilmu pengetahuan dan jaringan yang merupakan kunci penting keusahawanan,” katanya.
Selain berjaya membuka hampir 200 peluang pekerjaan baharu, pemilik Syukor Burger kini mempunyai lebih 600 cawangan gerai seluruh negara.
Berucap di hadapan hampir 100 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sekitar Gombak pada sesi dialog di sini hari ini, Amirudin berkata Hijrah sentiasa berusaha membantu usahawan dengan menyediakan pinjaman modal untuk melebarkan perniagaan.
“Hijrah dibangunkan bukan hanya untuk bantu perniagaan usahawan tetapi pada masa sama bantu meningkatkan ekonomi negeri.
“Jadi kita mahu usahawan di Selangor terus membina kemampuan dan keyakinan untuk bersaing bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi antarabangsa,” katanya.