Sebahagian mangsa banjir kilat yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Sri Gading, Batu Pahat, Johor pada 14 September 2022. Foto Facebook SMK Sri Gading
AGENDANASIONAL

Mangsa bah di tiga negeri termasuk Selangor meningkat

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak dan Pahang meningkat manakala bilangan mangsa di Johor, Kelantan, Sarawak dan Melaka menunjukkan penurunan, malam ini.

Di Selangor, laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 1,321 mangsa daripada 317 keluarga berbanding 800 mangsa daripada kira-kira 200 keluarga pagi tadi.

Sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di negeri berkenaan iaitu empat dalam daerah Kuala Selangor, empat di Sepang serta masing-masing tiga dalam daerah Sabak Bernam, Klang, Petaling dan Hulu Langat.

Di Perak, mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 642 orang daripada 188 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 540 orang daripada 153 keluarga sejak 8 pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 10 buah PPS termasuk tiga PPS yang baru dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu di daerah Kerian, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru Trong di Larut Matang Selama (LMS) dan SK Layang-Layang Kiri di daerah Perak Tengah.

Beberapa daerah di negeri itu terus merekodkan penurunan mangsa banjir khususnya di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman Beruas, SMK Layang-Layang Kiri dan Sekolah Agama Rakyat Shafie Batu Hampar.

Di Johor, tiga daerah masih terjejas dengan banjir kilat iaitu Tangkak, Kluang dan Segamat namun bilangan mangsa semakin berkurangan kepada 289 orang setakat 8 malam ini berbanding 325 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam satu kenyataan, memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 72 keluarga itu masih ditempatkan di lima PPS.

Menurut kenyataan itu, seramai 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang masih berada di Dewan Komuniti Tasek, Segamat manakala hanya enam orang lagi di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang.

Di SK Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat, Tangkak pula menempatkan mangsa paling ramai iaitu masing-masing 122 dan 108 orang berikutan banjir termenung.

JPBD turut memaklumkan paras air di Sungai Lenik (Ladang Cha’ah), Segamat masih merekodkan paras bahaya dengan bacaan 6.19 meter namun cuaca di seluruh negeri itu cerah kecuali di daerah Segamat dan Batu Pahat yang dilaporkan mendung.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus merekodkan penurunan kepada 1,053 orang daripada 364 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 1,483 orang daripada 509 keluarga pagi tadi.

Menurut laman sesawang Info Bencana JKM, kesemua mangsa banjir ketika ini ditempatkan di enam PPS di Rantau Panjang dan Pasir Mas membabitkan SK Gual Tinggi, SK Tok Deh, SK Gual Periok, Masjid Mukim Padang Licin, PPS Putat Tujoh dan SK Kubang Kual.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit peningkatan kepada 272 mangsa melibatkan 83 keluarga di Raub dan ditempatkan di lapan PPS setakat 8 malam ini berbanding 236 orang daripada 70 keluarga petang tadi.

Seramai 143 mangsa kini berada di Pusat Kegiatan Kemas Gali manakala selebihnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Pia (39 orang), SK Tersang (28 mangsa) selain 18 mangsa masing-masing ditempatkan di SK Muhammad Jabar dan Balai Raya Kampung Ria.

Selain itu, Balai Raya Kampung Sungai Pasu dan Balai Raya Kampung Sengkela masing-masing dihuni 10 mangsa dan enam lagi mangsa ditempatkan di Masjid Kampung Kuala Semantan.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 48 mangsa daripada 12 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 37 mangsa melibatkan 12 keluarga pada 8 pagi tadi.

Mangsa yang terjejas adalah dari Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Panchor.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Medamit, Limbang mengalami sedikit penurunan iaitu 123 orang setakat 7 malam ini berbanding 133 orang pada 3 petang tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, kesemua mangsa terdiri daripada 39 keluarga dari kawasan hujung Jalan Medamit di daerah itu. – BERNAMA

 


Pengarang :