Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir untuk proses pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tinjauan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kluang pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: PRU15 DUN Tioman diadakan 7 Disember

PUTRAJAYA, 19 NOV: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang tidak berlangsung hari ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi, akan diadakan pada 7 Disember ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November ini manakala hari mengundi awal pada 3 Disember 2022.

Beliau berkata SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rompin hari ini berhubung kematian calon PN berkenaan.

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 hingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022,” katanya.

Ini bermakna, PRU15 bagi DUN Tioman diadakan serentak dengan Parlimen Padang Serai susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, pada Rabu lepas.

– BERNAMA


Pengarang :