Pengundi Gombak menunaikan kewajiban sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Klang Gate, Kuala Lumpur pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Proses pengundian individu positif Covid-19 lancar

PETALING JAYA, 19 NOV: Proses pengundian melibatkan pesakit Covid-19 setakat tengah hari ini berjalan lancar di semua pusat pengundian, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sekurang-kurangnya dua petugas kesihatan ditugaskan di setiap pusat pengundian kecuali di pusat-pusat kecil yang menempatkan satu petugas.

“Sebagai contoh, di pusat pengundian ini (SK Seksyen 7 Kota Damansara), ada 10 orang yang positif Covid-19 hadir (setakat 12 tengah hari). Pegawai saya maklumkan bahawa mereka memaklumkan bahawa positif Covid-19 dan dibenarkan mengundi dan terus balik. Semuanya lancar,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di SK Seksyen 7 Kota Damansara di sini.

Menurut Khairy, pengundi yang positif Covid-19 akan menunjukkan status positif mereka di MySejahtera sebaik tiba di pusat mengundi dan terus dibawa masuk untuk mengundi, kemudian balik.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu yang positif virus itu perlu mematuhi beberapa garis panduan untuk mengundi, termasuk penjarakan fizikal dan tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam.

– BERNAMA


Pengarang :