SHAH ALAM, 24 NOV: Lebih 200,000 penduduk negeri ini menerima manfaat program Jelajah Ehsan Rakyat yang menawarkan barangan asas pada harga murah sejak September lalu.
Menurut EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim, program yang sepatutnya berakhir bulan depan disambung lagi sehingga Mac 2023 berikutan sambutan baik masyarakat.
“Setiap barangan dijual murah 30 peratus dari pasaran. Sehingga Oktober, penjimatan kos barangan asas ini sebanyak RM2.85 juta dari jumlah kutipan RM6.8 juta di 306 lokasi,” katanya.
Menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau memaklumkan program itu bagi membantu rakyat pascapandemik, bukan mahu menyaingi peniaga kecil.
Ir Izham yang juga wakil rakyat Pandan Indah menambah program itu dijalankan dengan skala kecil iaitu hanya sembilan lokasi setiap hari berikutan bilangan lori yang terhad.
“Sebab itu kita tidak buat berhampiran pasar. Lokasi program atas permintaan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan mereka kenal pasti tempat sesuai selain beri sokongan logistik,” jelasnya.
Program kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).
Turut dijual pada harga murah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).