Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesihatan, tuala wanita percuma beri makna besar kepada B40

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

HULU LANGAT, 26 NOV: Peruntukan saringan kesihatan oleh Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Selangor 2023 memberi makna besar kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Peniaga, Azizin Samsi, 63, berkata golongan terbabit kadang kala terpaksa melupakan hasrat mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik kerana tidak mampu.

Azizin Samsi

“B40 kadang-kadang terpaksa lupakan hasrat ke klinik sebab tak mampu kerana wang yang ada perlu disalurkan kepada keperluan lain.

“Jadi bantuan kesihatan seperti Selangor Saring yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma memberi makna besar kepada golongan ini dan akan menarik mereka untuk mementingkan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Selangorkini.

Suri rumah, Nur Shafiqah Md Ridzuan, 31, pula berkata penyediaan tuala wanita secara percuma adalah idea bernas dan terlihat seperti isu kecil tetapi tidak semua mampu membelinya terutama mereka yang ramai ahli keluarga.

Nur Shafiqah Md Ridzuan

“Dengan adanya peruntukan seperti ini banyak perkara boleh dielak antaranya risiko mendapat penyakit lain akibat tidak menggantikan tuala wanita dengan kekerapan sepatutnya,” katanya.

Seorang lagi suri rumah, Norizan Abd Razak, 53, berkata pengesanan awal kesihatan dapat mengelak kos yang lebih tinggi malah jika kesihatan terganggu ia boleh memberi kesan dan mengganggu kehidupan seharian.

Norizan Abd Razak

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan belanjawan semalam berkata beberapa program kesihatan diteruskan serta ditambah baik iaitu Iltizam Selangor Sihat (ISS), Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

Selain itu Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam, Selangor Saring, Selangor Kanser, Selangor Mental Sihat, Program Anak Selangor Anak Sihat dan kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita percuma.


Pengarang :