Kerja penurapan di Jalan Bukit Badak, Petaling pada 22 November 2022. Foto Instagram Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel giat baik pulih dua jalan di Kuala Selangor, Petaling

SHAH ALAM, 26 NOV: Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melakukan penurapan jalan di dua daerah minggu ini.

Agensi itu memaklumkan kerja pembaikan dijalankan di Jalan Kris 1, Kuala Selangor dan Jalan Bukit Badak, Petaling dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima menerusi Twitter.

Jelas Infrasel, penurapan dilakukan di Jalan Kris 1, Kuala Selangor pada 24 November manakala Jalan Bukit Badak, Petaling pula pada 22 November.

Agensi itu meminta orang ramai terus membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah jika berlakunya kerosakan jalan.

Minggu lalu, Infrasel membaik pulih Jalan Padang Jawa, Petaling dan Jalan PT 1 Bagan Terap, Panchang Bedena, Sabak Bernam.

Turut dibaik pulih Jalan Merbau Sempak, Shah Alam dan kerja mencantas pokok atas dasar keselamatan selain kerja berkaitan di Jalan Paya Jaras Kubu Gajah Merbau Sempak, Petaling awal November.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi Twitter.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.


Pengarang :