SHAH ALAM, 2 DIS: Usul enakmen pewartaan bagi bangunan atau khazanah bersejarah di Selangor akan dibawa dalam sidang Dewan Negeri tahun hadapan, kata EXCO kebudayaan dan warisan.
Menurut Borhan Aman Shah, kertas kerja dibuat bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor untuk membolehkan negeri mewartakan khazanah warisan seperti di Melaka.
“Sebelum ini, sebarang pewartaan perlu merujuk Jabatan Warisan, namun enakmen ini akan memastikan Selangor mendapat hak sendiri bagi mewartakan khazanah negeri.
“Setakat ini, ada separuh bangunan atau warisan bersejarah Selangor telah, sedang dan akan diproses untuk diwartakan. Kita akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran Batik Selangor yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Annex di sini semalam.
Mengulas mengenai Batik Selangor, Borhan memaklumkan penggunaan pakaian itu bagi memastikan seni tekstil terus hidup, sekali gus memartabatkan batik tempatan.
“Usaha ini membantu dalam membangunkan industri tekstil berasaskan seni kreatif negara dan mengekalkan serta mempromosi identiti warisan.
“Oleh sebab itu, pemakaian batik diperluas dan diamalkan sama ada secara formal mahupun tidak formal dengan bermula oleh EXCO, ahli dewan negeri dan penjawat awam negeri ini,” katanya lagi.