Oleh AZIAN AZIZ
AMPANG, 11 DIS: DatumCorp International Sdn Bhd (DCI) dalam perancangan untuk membina sebuah pusat perubatan di Seksyen 13, Shah Alam tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azmil Abd Shukor berkata pusat perubatan bakal dibina itu terletak berhampiran dengan projek perumahan DCI di lokasi sama.
“Pembinaan hospital yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun hadapan sedang dibincangkan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Dijangkakan pembinaan pusat perubatan itu memakan masa tiga tahun,” katanya selepas pelancaran Pusat Beli-Belah Datum Jelatek di Jalan Jelatek semalam.
Pelancaran tersebut disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Menurut Mohd Azmil, adalah menjadi hasrat DCI untuk terus menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi dan komuniti melalui pembangunan berimpak tinggi.
DCI merupakan anak syarikat milik penuh PKNS dan telah membangunkan keseluruhan Datum Jelatek merangkumi empat blok unit kediaman yang mengandungi 712 unit serta dihubungkan dengan jejantas udara dan sebuah pusat beli belah.