Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat lokasi tanah runtuh di Kampung Sungai Pusu, Gombak pada 12 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pasukan khas teliti lokasi risiko tanah runtuh, kemuka cadangan elak insiden

GOMBAK, 12 DIS: Langkah mengatasi kejadian tanah runtuh sekitar negeri ini akan dibuat selepas laporan penuh diterima daripada pasukan petugas khas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini pasukan berkenaan yang dianggotai beberapa pakar termasuk daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sudah menyerahkan laporan awal kajian.

“Apabila dapat laporan penuh, kita boleh tahu tahap kerapuhan tanah sekali gus membolehkan kita mengambil tindakan termasuk peruntukan diperlukan.

“Bagaimanapun laporan penuh melibatkan keseluruhan aspek perlu mengambil masa. Kita jangkakan dalam tempoh setahun dua ini akan ada tindakan lengkap. Sekarang kita kenal pasti kawasan berisiko tinggi terlebih dulu,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kejadian tanah runtah melibatkan halaman rumah penduduk Kampung Sungai Pusu, Abdul Malik Mohd Hashim di sini hari ini.

Bulan ini, tanah runtuh berlaku dua lokasi masing-masing di Ampang dan Puchong susulan hujan. Bagaimanapun kejadian tidak mendatangkan kecederaan, hanya merosakkan struktur rumah serta kenderaan.

Pada Mac EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata Selangor menubuhkan pasukan petugas bagi memantau cerun berisiko runtuh di seluruh negeri ini.


Pengarang :