Orang ramai memilih barangan dapur dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di Taman Puncak Jalil pada 15 Disember 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah ayam, ikan, telur di tiga lokasi esok

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 18 Dis: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri diteruskan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Program bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari itu bertempat di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri Puchong (DUN Kinrara); Jalan Cengkeh, Taman Bayu Mas, Pelabuhan Klang (DUN Pandamaran) dan parkir Surau Al-Ukhwah, Pangsapuri Sri Meranti Bandar Sri Damansara (DUN Bukit Lanjan).

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menguruskan jualan murah berkenaan menawarkan barangan seperti 500 ekor ayam standard pada harga RM10 seekor, 300 papan telur gred B (RM10 sepapan) dan 300 pek daging pejal segar (RM10 per pek).

Turut dijual ialah 300 pek ikan kembung (RM6 setiap pek), 300 kampit beras lima kilogram (RM10 sekampit) dan 150 botol minyak masak lima kilogram (RM25 sebotol).

PKPS turut menjual barangan kering keluaran Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling dengan harga murah.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember ini, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :