Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan The World of DC Exhibition di The Gardens Mall, Petaling Jaya pada 22 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Garis panduan berkhemah bakal dikuat kuasa, elak tragedi Batang Kali berulang

PETALING JAYA, 22 DIS: Garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan akan dikuat kuasa sebagai enakmen atau peraturan pekeliling, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata garis panduan berkenaan meliputi segala aspek termasuk aktiviti memancing dan mendaki supaya kejadian kecemasan tidak berulang sekali gus menjamin keselamatan nyawa.

“Tidak semestinya kita tetapkan enakmen atau akta tetapi yang penting buat peraturan. Masalah sekarang kita tiada undang-undang kecil apatah lagi enakmen.

“Kalau ada keperluan buat enakmen, kita buat. Saya jangka kita bawa (usul) pada sesi dewan Mac nanti. Jika tiada keperluan, cukup dengan pekeliling boleh diguna pihak berkuasa tempatan untuk diselaraskan,” katanya selepas melancarkan The World of DC Exhibition di Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Beliau berkata pertemuan Kerajaan Negeri dengan pemilik atau penganjur tapak perkhemahan dilakukan dalam masa terdekat supaya garis panduan dapat dimuktamadkan.

“Kalau tiada keperluan kuat kuasa enakmen, kita akan umum garis panduan ini pada Februari. Kerajaan Negeri mahu panduan lebih jelas untuk jamin keselamatan,” katanya.

Pasukan mencari dan penyelamat menjumpai empat lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 22 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor

Pada 16 Disember, tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali, Batang Kali musnah dalam tragedi runtuhan tanah kira-kira jam 2.42 pagi.

Setakat ini tragedi berhampiran Father’s Organic Farm, Jalan Genting menyaksikan 61 daripada 94 mangsa selamat, 30 terkorban dan tiga lagi masih hilang.


Pengarang :