Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj ketika ditemui media selepas meninjau keadaan rumah di Taman Klang Jaya, Klang yang rosak akibat pengubahsuaian rumah jirannya pada 14 Jun 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penduduk digesa rakam gambar pihak buang sampah merata di DUN Sentosa

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 22 DIS: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa diminta merakam gambar individu atau pihak tertentu membuang sampah merata-rata supaya tindakan boleh diambil ke atas mereka.

Ahli Dewan Negerinya Dr G Gunaraj yang kecewa dengan keadaan itu berkata orang ramai boleh menyerahkan rakaman tersebut kepada pihaknya supaya mereka terlibat dapat dikesan seterusnya dilaporkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk dikenakan kompaun.

“Ini masalah di Taman Sentosa dan Klang Jaya apabila sampah dibuang merata tempat dan berulang di longkang dan tanah kosong walaupun sudah dikutip.

“Siapa boleh hantar gambar mereka yang buang sampah kepada saya, kita akan cari sampai dapat dan bawa kepada MPK untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu klip video menerusi Facebook hari ini.

Gunaraj memberitahu sampah dibuang di tempat tidak sepatutnya bukan hanya mencacatkan pemandangan tetapi dibimbangi menyebabkan banjir apabila longkang tersumbat.

“Kebanyakannya adalah sampah domestik yang sepatutnya dibuang di kawasan rumah atau kedai supaya pihak berwajib dapat mengutip setiap tiga kali seminggu,” ujarnya.

Beliau menyarankan agar masyarakat mengamalkan kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang sesuai.


Pengarang :