OLEH FAIZAL NAZARUDDIN
SHAH ALAM, 24 DIS: Tiada lagi aliran baki cecair pati minyak wangi dikesan masuk ke dalam Sungai Semenyih setakat jam 2 petang tadi hasil tindakan pencegahan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Menurut agensi itu, bacaan bau di lokasi pemantauan statik LUAS 1.5 kilometer daripada muka sauk loji kekal 1 TON (nombor bau nilai ambang).
“Tiada lagi aliran baki cecair yang masuk ke dalam sungai hasil daripada tindakan pencegahan membina ban pasir dan tambahan perletakkan AC di sepanjang aliran dalam longkang terlibat.
“Kerja-kerja penyedutan sisa cecair berkenaan dilaksanakan kontraktor yang dilantik dan juga bantuan dua lori tanker sedut milik pihak Indah Water Konsortium (IWK),” katanya menerusi Facebook.
Operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) bagaimanapun masih belum boleh dimulakan.
“LUAS dan semua pihak terlibat sedang melaksanakan tindakan pemulihan dengan kadar segera. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pagi tadi memaklumkan LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir.
Pemberhentian operasi LRA itu dikenal pasti tumpahan cecair daripada insiden kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite menyebabkan pencemaran bau di dalam aliran air Sungai Semenyih.
Susulan itu, 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.