Lebih 100 rumah musnah dan dianggarkan 500 kediaman lagi terancam dipukul ombak berikutan air laut pasang besar di kawasan setinggan di Kampung Forest, Sandakan, Sabah pada 24 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

38 lagi rumah roboh di Sandakan susulan air pasang, fenomena sama diramal berulang malam ini

SANDAKAN, 26 DIS: Sebanyak 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest di sini roboh akibat fenomena air pasang sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata sehingga 10 pagi tadi, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan semalam susulan kejadian malam Sabtu (24 Disember) lepas.

“Pada pagi tadi, kita kenal pasti sebanyak 38 buah rumah telah roboh, menjadikan jumlah keseluruhan 108 buah rumah.

“Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Forest di sini hari ini.

Anggota Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk melalui jambatan yang sudah ditenggelami air laut untuk berpindah ke tempat selamat sewaktu membuat pemantauan fenomena air pasang besar di Kampung Tinusa Dua, Sandakan, Sabah pada 24 Disember 2022. Foto BERNAMA

Abdul Fuad bersyukur ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah malam tadi sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini.

“Sepertimana semalam, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai,” katanya.
– BERNAMA


Pengarang :