Pasukan mencari dan penyelamat menjumpai empat lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 22 Disember 2022. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri
AGENDA

Negeri tunggu laporan penuh tragedi tanah runtuh, siap dua bulan lagi

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan Negeri menunggu laporan penuh kejadian tanah runtuh di Batang Kali daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sebelum membuat sebarang keputusan.

Mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi lokasi berisiko, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa tanpa meneliti laporan itu yang dijangka diterima dua bulan lagi.

“Kita tunggu laporan dikeluarkan JMG dahulu bagi mengetahui punca sebenar kejadian tanah runtuh. Namun, laporan awal ketika malam kejadian memaklumkan tiada kegiatan di kawasan kejadian tersebut.

“Setakat ini, kita tidak tutup tapak perkhemahan. Kita tidak boleh buat keputusan panik dan tergesa-gesa, perlu tunggu laporan terlebih dahulu. Namun, kita tingkatkan perhatian agar kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan program Gerak Gempur Sijil Pelajaran Malaysia 2022 anjuran Majlis Perundingan Masyarakat India Selangor di sini hari ini.

Kejadian di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada dua minggu lalu mengorbankan seramai 31 individu manakala 61 lagi terselamat.

Peristiwa itu dianggap tragedi terburuk selepas kejadian satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Ulu Klang tumbang hingga mengorbankan 48 orang pada 11 Disember 1993.


Pengarang :