Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada pewaris ketika program ziarah kasih dan penyerahan khairat kematian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Kampung Baru Batu Caves, Gombak pada 9 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kebajikan OKU terus dibela, salur RM30.5 juta jaya Skim Mesra Insan Istimewa

SHAH ALAM,9 JAN: Bantuan orang kurang upaya (OKU) di Selangor diperkemas dengan menambah baik Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) selari agenda Kerajaan Negeri mengutamakan kebajikan golongan tersebut.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan menerusi skim tersebut Kerajaan Negeri membantu golongan itu termasuk warga emas dengan memberi baucar beli-belah bernilai RM150 setiap tahun dan khairat kematian RM500.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini baucar menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diberikan setiap kali tiba bulan kelahiran, tetapi kini mereka boleh mengambilnya bila-bila masa bermula tahun ini.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan RM30.5 juta. Setakat 22 Disember tahun lalu, seramai 441,880 orang telah mendaftar membabitkan 417,003 warga emas dan 24,877 OKU.

“InsyaAllah, kita usahakan inisiatif ini agar memberi kebaikan kepada seramai mungkin warga emas dan golongan OKU di Selangor.

“Semoga visi negeri penyayang sentiasa kekal menjadi nadi penggerak kemajuan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Amirudin berkata Selangor memperkemaskan kebajikan OKU dengan mendaftarkan golongan tersebut di bawah SMIS.

Penstrukturan semula SMUE itu meningkatkan nilai baucar beli-belah daripada RM100 kepada RM150 dan melibatkan penambahan peruntukan RM10 juta menjadikan peruntukan bagi SMUE dan SMIS berjumlah RM30.5 juta pada 2023.


Pengarang :