Tan Sri Michelle Yeoh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik yang dimenanginya bagi filem “Everything Everywhere All at Once” pada Anugerah Golden Globe ke-80 di Beverly Hills, California pada 11 Januri 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Michelle Yeoh menang pelakon wanita terbaik Anugerah Golden Globe

SHAH ALAM, 11 JAN: Tan Sri Michelle Yeoh, dikenali dunia melalui filem bertema James Bond, menempa sejarah sinema Asia apabila memenangi Pelakon Wanita Terbaik Filem (Muzikal/Komedi) Golden Globe pada hari ini.

Anak Perak itu yang mencipta nama di Hollywood melalui Tomorrow Never Dies pada 1997 dicalonkan untuk Everything Everywhere All at Once arahan sutradara Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Kemenangan itu menyaksikan Yeoh mengetepikan aktres Lesley Manville yang membintangi Mrs Harris Goes to Paris, Anya Taylor-Joy (The Menu), Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).

Memegang watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia, Yeoh, 60, menyifatkan pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni sebagai perjalanan menakjubkan.

“Saya teringat ketika pertama kali menjejakkan kaki di Hollywood, ia seperti mimpi jadi nyata sehinggalah saya berdiri di sini (di pentas anugerah Golden Globe),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada 2020, warga Amerika Syarikat berdarah Asia, Awkwafina atau Nora Lum, memenangi kategori sama anugerah tersohor itu melalui filem The Farewell. Golden Globe antara anugerah dunia paling berprestij sebaris Oscar dan Cannes.

Kejayaan aktres kelahiran Ipoh itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menyifatkan kemenangan tersebut satu penghormatan buat negara.

“Suatu pencapaian yang sungguh menakjubkan, dan pastinya amat berbaloi. Satu penghormatan buat negara,” katanya menerusi Twitter.

Baru-baru ini, Yeoh juga diumumkan sebagai Ikon Tahun 2022 oleh majalah Time.

 


Pengarang :