Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa perbarisan pasukan keselamatan sebelum menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Catat hasil RM2.505 bilion, tiga tahun berturut atasi sasaran

SHAH ALAM, 11 JAN: Selangor mencatat hasil negeri sebanyak RM2.505 bilion tahun lalu, lebih RM500 juta mengatasi sasaran sekali gus antara pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun terakhir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan muafakat antara pentadbir dan pengurusan membantu negeri mengatasi sasaran awal iaitu RM2.05 bilion.

“Tahun lepas, kita catat lebihan bukan RM100 juta tetapi lebih RM500 juta dari sasaran. Tiga tahun berturut-turut kita rekodkan jumlah melepasi sasaran,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu hari ini.

Beliau berkata pentadbiran negeri turut mencatat nilai pelaburan antara RM11 bilion hingga RM12 bilion setakat Ogos berdasarkan laporan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

“Tetapi, dalam tempoh tiga empat bulan antara September hingga November, kita sudah cecah RM25 bilion pelaburan,” katanya yang turut merakam penghargaan kepada pentadbiran, pengurusan dan penjawat awam.

Amirudin menambah mereka giat berusaha membantu menjana ekonomi negeri sekali gus simbol keyakinan orang ramai dan masyarakat pelabur.

“Saya bersyukur walaupun berdepan pandemik Covid-19, banjir pada 2021 dan dikejutkan dengan tanah runtuh Batang Kali, Kerajaan Negeri tetap gagah,” katanya.


Pengarang :