Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, Klang pada 17 Januari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS hadkan belian, mahu semua pengunjung dapat barangan murah

KLANG, 17 JAN: Jualan murah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa mendapat sambutan luar biasa sehingga Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terpaksa mengehadkan pembelian beberapa barangan.

Pengurus Komunikasi Strategiknya berkata langkah itu memastikan semua pengunjung program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) berpeluang membeli barangan asas tersebut.

Menurut Noor Azreena Abdul Aziz, program diawalkan 15 minit berbanding biasa memandangkan orang ramai mula beratur seawal jam 8 pagi untuk membeli keperluan dapur yang lebih murah daripada harga pasaran.

“Kita hadkan pembelian iaitu seekor ayam dan sepapan telur bagi setiap pengunjung. Ini bagi pastikan semua berpeluang beli barangan terlaris.

“Tidak sampai satu jam mulakan jualan, sebanyak 250 ekor ayam dan 150 papan telur terjual sekitar 10 pagi. Kalau tak hadkan pembelian sudah pasti ramai yang pulang dengan tangan kosong.

“Sambutan diterima amat memberangsangkan apabila semua barang habis terjual pada jam 11.30 pagi,” katanya pada program bertempat di Masjid Al-Islah, Kampung Sementa hari ini.

Noor Azreena menambah jualan terbabit diteruskan sehingga Sabtu dan dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada cuti umum Tahun Baharu Cina sebelum disambung semula pada 25 Januari.

Pada program berkenaan, PKPS menyediakan sebanyak 500 ekor ayam; telur (300 papan); daging dan ikan sejuk beku (300 pek); beras (300 kampit) dan minyak masak 150 botol.

JER menawarkan pelbagai barangan murah seperti ayam standard (RM10 seekor), daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Selain DUN Sementa, JER turut dilaksanakan di DUN Permatang, Kuang, Jeram, Seri Serdang, Bukit Melawati, Dengkil, Paya Jaras dan Subang Jaya.


Pengarang :