Orang ramai menunggu giliran membeli barangan murah di jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Kuang, Selayang pada 17 Januari 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS mahu adakan jualan murah di semua DUN setiap minggu

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 17 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan memastikan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) berpeluang mengadakan jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) setiap minggu.

Pengurus Projek PKPS Nurulshima Md Anuar berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan permohonan beberapa penyelaras DUN yang mahu jualan JER diadakan tiga kali seminggu di kawasan mereka.

“Setiap hari kita adakan sembilan JER di sembilan DUN secara bergilir-gilir mengikut permintaan. Jika ada kekosongan hari kita akan penuhi permintaan mereka,” katanya ketika ditemui di JER Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Kuang di sini hari ini.

Pengurus Projek PKPS Nurulshima Md Anuar. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Mengenai jualan barangan kering jenama Ehsan keluaran PKPS, Nurulshima menjelaskan, jualan barangan tersebut akan dibuat di lokasi terpilih dan bukan di semua tempat jualan JER.

Mengulas jualan JER di Puteri Central Park hari ini, beliau berkata 500 ekor ayam, 300 papan telur, 300 kampit beras lima kilogaram, 300 pek daging, 300 pek ikan dan 150 botol minyak masak 25 kilogram habis dijual.

“Telur habis tidak sampai sejam selepas jualan dibuka 10 pagi manakala yang lain habis selepas pukul 12 tengah hari,” katanya sambil menyatakan jumlah mereka yang hadir kira-kira 500 orang.

Program JER menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu yang berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN sebelum ini diteruskan hingga Mac depan.


Pengarang :