Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat. Foto Arkib Selangorkini
ADNSELANGOR

Wakil rakyat cadang jadikan Rawang pusat industri batik di Selangor

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang merancang menjadikan bandar itu sebagai salah satu pusat industri batik sekali gus selaku produk pelancongan Selangor.

Chua Wei Kiat berkata industri itu berpotensi dikembangkan supaya warisan berkenaan dapat terus dipopularkan dan tidak ditelan zaman.

“Di Rawang setakat ini saya dimaklumkan ada kira-kira enam perusahaan berkaitan industri batik selain ia berdekatan dengan institut kraftangan.

“Jadi saya nampak ini sebagai satu peluang yang perlu kita kembangkan dan ketengahkan sekali gus boleh diangkat menjadi produk pelancongan Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Wei Kiat berkata beliau akan berjumpa dan berbincang dengan penggiat industri batik di kawasan berkenaan untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai cadangan itu.

“Saya sendiri sudah melihat perusahaan ini dan nampaknya ia mempunyai potensi yang baik untuk dikembangkan. Selain itu corak dihasilkan juga mengikut aliran terkini serta menepati selera anak muda.

“Selepas perbincangan dengan mereka, saya akan cuba bawa cadangan ini kepada EXCO pelancongan dan Kerajaan Negeri. Selalunya orang akan terfikir Terengganu dan Kelantan bila bercakap mengenai batik, tetapi kali ini kita mahu adakan di Selangor pula,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar melancarkan Batik Selangor bercorak bunga tanjung kelopak sembilan sebagai simbolik sembilan daerah yang terdapat di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai permulaan, batik yang dihasilkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dengan kerjasama Kraftangan Malaysia digayakan oleh EXCO, ADN dan penjawat awam di negeri ini.

Pemakaian baju terbabit dimulakan dengan penjawat awam dan diikuti pimpinan ketua kampung, ahli majlis dan akar umbi supaya dapat dipopularkan.


Pengarang :